31 May 2010

Doa Amalan

“Ya Allah pilihkanlah untukku dengan kekuatan ilmu-MU, tentukanlah untukku dengan kehendakmu, aku pohon kemurahanMU yang sangat luas, kerana Engkaulah yang boleh menentukan sesuatu dan aku tidak boleh, Engkau maha mengetahui apa yang tidak ku ketahui, dan Engkaulah yang paling tahu hal-hal yang ghaib. Ya Allah, jika sesuatu ini menurutMU baik bagi diriku, kehidupanku dan kesudahan ku maka pilihlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku kemudian berkatilah, dan seandainya ini menjadi malapetaka bagiku, agamaku, kehidupanku dan kesudahan perkaraku maka jauhkanlah ia dariku sejauh-jauhnya, dan berilah aku kebaikan di mana saja berada dan redhailah aku kerananya.”

Ini petikan doa yang saya petik dari blog Dr Azhar. http://aku-ok.com/blog
Kata Dr Azhar "Cubalah lakukannya selama dua minggu di mana sahaja dan perhatikan perubahan hidup anda. "

Insya allah saya akan cuba amalkan.

Meditasi Islam

Mungkin ramai yang biasa dengar tentang meditasi. Saya pernah join Bengkel Penghayatan Solat yang dikendalikan oleh Dr Azhar, salah seorang pelopor kaedah meditasi Islam di Malaysia.
Memang banyak yang saya pelajari dalam bengkel tersebut. Tiba-tiba hari ni saya teringatkan hal meditasi ni. Baru saya tersedar, dah agak lama saya tak amalkan apa yang saya pelajari dalam bengkel tu.

Untuk makluman, Dr Azhar adalah kolumnis Majalah Mingguan Wanita yang selalu menulis mengenai sains minda. Banyak artikel beliau yang memberi keinsafan dan membuka minda. Blog beliau : http://aku-ok.com/blog/

Bagi sesiapa yang belum pernah join bengkel beliau mungkin payah sikit nak faham konsep yang dibawakan oleh beliau. Tapi secara peribadi, saya sangat berminat dengan konsep meditasi Islam yang dibawa oleh beliau. Jika berkesempatan saya nak ikuti lagi bengkel beliau.

Muhasabah Diri

Setelah sebulan lebih memulakan usaha untuk menceburkan diri dalam bisnes internet, saya buat kesimpulan saya kena menimba lebih banyak ilmu sebelum betul-betul serius untuk buat bisnes.

Terlalu banyak maklumat di dunia internet boleh menyebabkan kita 'hilang arah'. Itulah yang hampir berlaku pada saya. Memang mudah nak buat bisnes kalau semata-mata nak dapat duit, tapi bukan itu matlamat saya. Duit memang penting untuk memastikan keselesaan hidup, tapi bukan bermakna duit dapat bahagiakan kita selamanya. Ramai orang derita kerana duit.

Buat masa sekarang, saya akan terus 'merantau' di dunia maya ni untuk dapat ilmu dan pengalaman. Apa sebenarnya yang saya cari? Saya mencari satu bentuk bisnes yang sesuai dengan diri saya kerana SAYA MAHU JADI DIRI SAYA YANG SEBENAR. Hidup ni terlalu singkat, apa gunanya jika hidup yang singkat ini dilalui setiap hari dengan hati yang tidak tenteram dan kepala yang berserabut. Blog ni akan saya jadikan 'diari online' catatan perjalanan saya untuk tatapan saya dan anak-anak pada masa depan.

26 May 2010

Cara Buat Duit Melalui Internet

Setelah beberapa ketika 'merantau' dalam dunia maya ni, saya mula 'nampak' macam mana kita boleh buat duit melalui internet. Ada bermacam-macam cara, antaranya :

1. Join program affiliate - iaitu jadi ejen untuk jual produk orang lain sama ada produk digital atau fizikal. Ramai yang cakap ini cara paling mudah sebab tak perlu hasilkan produk sendiri, just focus macam mana nak promote. Bagi saya secara peribadi, saya suka pilih produk yang betul-betul bermanfaat. Kalau yang klik2 je dapat duit tu, memang saya kurang berkenan. Dan cabarannya ialah untuk buat promosi secara sah. Sebab kebanyakan program affiliate tak benarkan ahli buat spam.

2. Jual produk digital - macam2 produk digital ada sekarang ni. Yang paling popular mesti la ebook. Contoh lain ialah video, grafik komputer, laman web dan program komputer.

3. Jual produk fizikal - antara yang dijual di pasaran online sekarang ialah pakaian, hiasan rumah, mainan, buku, hasil kraftangan dll.

4. Perkhidmatan - contohnya khidmat nasihat kewangan, prepare penyata akaun dan insurans.

5. Jual ruang iklan - dulu orang buat iklan kat akhbar dan majalah. Sekarang orang banyak buat iklan kat blog dan website. Kos pun lebih murah.

Dan setelah 'menganalisis' sorang2, saya dapat buat kesimpulan bahawa tak kira bentuk bisnes yang macam mana yang kita pilih, marketing strategy adalah paling utama. Nak buat orang tertarik dengan produk kita, kita kena pastikan produk kita lain dari yang lain. Kita juga kena bina kredibiliti supaya orang yakin kita mahir dalam apa yang kita buat.

Dan untuk kesekian kalinya, saya belum buat keputusan untuk pilih bentuk bisnes yang paling sesuai untuk saya usahakan......

Dugaan emosi lagi....

Hari ni pagi-pagi lagi mood saya dah hilang. Alahai, bila la boleh tinggalkan pejabat ni...

Dulu di pejabat lama tiap2 hari tension, macam2 masalah kerja. Sekarang kat pejabat baru kerja tak la tension sangat, tapi tension ngan bos2 dan staff2 lain. Dah 4 bulan saya kat sini, tapi still rasa tak selesa ngan orang2 kat pejabat ni. Takde rasa kemesraan dan hubungan kekeluargaan.

Tah la.... Memang semua kerja pun ada cabaran, tapi ada sesetengah cabaran yang kita tak sanggup hadapi. Bagi saya kerja yang banyak bukan lah satu masalah, tapi kalau orang2 di persekitaran kita yang bermasalah, memang jadi masalah besar. Sebab kita takde kuasa nak ubah perangai orang.

Dalam masa tengah ikhtiar cari peluang kerja dari rumah ni, saya selalu gak terbayang macam mana keadaannya bila saya bekerja dari rumah. Antara yang terbayang di fikiran saya :

Waktu awal pagi - saya akan tetap sibuk uruskan suami dan anak2 sebelum masing2 ke pejabat dan sekolah / tadika.

Pukul 8 hingga pukul 11 pagi -waktu paling produktif, dan pada masa yang sama waktu yang paling sibuk. Masa tu la nak ngadap kerja, masak sarapan, basuh baju, sidai baju, kemas rumah.

Pukul 11 hingga pukul 2 - waktu untuk uruskan anak-anak yang baru pulang dan yang pastinya kena masak untuk makan tengahari.

Pukul 2 hingga 5 petang - waktu untuk uruskan diri sendiri, tidurkan anak-anak dan berehat seketika.

Pukul 4 hingga 7 petang - waktu untuk luangkan masa ngan anak2 then masak untuk makan malam.

Pukul 7 hingga 9 malam - waktu untuk solat, mengaji dan semak kerja sekolah anak2

Pukul 9 hingga 11 malam - waktu untuk uruskan bisnes online. tapi pastinya banyak cubaan, sebab anak2 selalunya bermacam2 ragamnya.....

Itulah antara 'fantasi' saya bila bekerja sendiri nanti. Harap2 tercapai la impianku yang satu ini..... Amiinnnnn

23 May 2010

Mampukah Jadi Realiti?

Dah beberapa hari tak sempat update blog. Sebenarnya beberapa hari ni saya banyak dapat idea baru untuk projek WAHM ni. Tapi agak ragu-ragu yang mana paling berpotensi. Kadang-kadang rasa putus asa, mampu ke saya berjaya jadi WAHM?

Halangan utama untuk saya bertukar status kepada WAHM ialah komitmen kewangan. Selain membantu mencukupkan keperluan keluarga, ada hutang-hutang yang belum langsai, perlu juga membantu ibu serta adik-adik yang masih belajar. Jadinya saya perlukan kewangan yang betul-betul stabil kalau nak resign dari kerja sekarang.

Tapi takpelah.....saya serahkan segalanya kepada Dia Yang Maha Kuasa. Saya yakin Allah telah merencanakan yang terbaik untuk diri saya, dan pastinya perancangan Allah di luar jangkauan hambaNya...

20 May 2010

Suara Ibu Boleh Tenangkan Anak


Saya ingin berkongsi satu hasil kajian yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian baru-baru ini. Memang menarik...


2010/05/13
SINGAPURA: Satu penyelidikan terbaru mendapati, suara ibu sudah cukup untuk menenangkan anak mereka, penemuan yang pasti memberi kelegaan dan mengurangkan rasa bersalah ibu bekerja kerana hanya dapat berhubung dengan anak melalui telefon pada kebanyakan masa.

Kajian dijalankan penyelidik Amerika yang ingin mengetahui bagaimana interaksi suara memberi kesan kepada orang tersayang, menguji paras hormon penenang oxytocin ke atas kanak-kanak perempuan yang sedang menghadapi tekanan.


Seramai 61 kanak-kanak perempuan berusia antara tujuh dan 12 tahun, diminta mengaturkan satu persembahan di hadapan orang tidak dikenali dan kemudian dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Satu daripada kumpulan itu ditenangkan oleh ibu yang hadir selepas persembahan, kumpulan kedua bercakap dengan ibu masing-masing hanya melalui telefon manakala kumpulan ketiga tidak berinteraksi langsung dengan ibu mereka.

Hormon tekanan kanak- kanak berkenaan dipantau sepanjang proses itu dan penyelidik mendapati, kanak-kanak yang ditenangkan sama ada secara fizikal atau dengan suara, mengeluarkan paras oxcytocin yang sama, berbanding kumpulan kanak-kanak yang tidak berinteraksi dengan ibu mereka.

“Hasil kajian ini menunjukkan mereka yang kurang sokongan daripada keluarga dan rakan akan mempunyai tahap kesihatan yang lebih rendah.

“Interaksi suara mungkin mampu memberi kelegaan yang sama dengan hubungan secara bersemuka, termasuk sentuhan,” kata penyelidik. – Reuters

08 May 2010

Anakku Sayang

Semalam Daniel muntah-muntah, badannya panas dan asyik mengadu sakit kepala. Memikirkan sudah 3 hari saya mengambil cuti dan hari ni pula ada mesyuarat yang perlu dihadiri, saya berkira-kira mahu tetap ke pejabat. Bila sebelum tidur keadaan Daniel sudah agak baik, saya berpesan supaya hari ni tak perlu ke sekolah, tapi saya kena ke pejabat. 'Abis tu sape nak jaga abang?' tanya Daniel. 'Tokwan dan makngah kan ada'. Daniel angguk. Sayu pula rasa hati.

Tapi bila menjelang pagi Daniel masih merengek sakit kepala, tak sampai hati pula nak ke pejabat. Sudahnya saya ambil cuti kecemasan. Nasib baik ada staf yang tak keberatan menggantikan saya ke mesyuarat. Walau pun bos membebel sebab ada laporan yang perlu disiapkan, bagi saya anak lebih utama.

Masuk kali ni dah 3x dalam tahun ni saya ambil cuti mengejut sebab anak demam. Banyak kali juga saya tetap ke pejabat walau pun Daniel atau Aliya demam. Memang sejak akhir-akhir ni anak-anak kerap demam, mungkin kerana cuaca yang tak menentu.

Inilah dilema bila bekerja makan gaji.....antara kerjaya dan anak-anak yang mana perlu diutamakan. Tapi bagi saya selagi urusan di pejabat tidak kritikal, anak-anak lebih penting. Tahun lepas semasa saya tinggal di KL manakala suami dan anak-anak di sini, saya ambil cuti kecemasan selama seminggu bila anak-anak muntah-muntah dan taknak makan. Masuk je makanan atau minuman ke dalam perut, semuanya akan dimuntahkan semula. Hibanya hati melihat kedua-dua anak terbaring lesu, muka masing-masing cengkung.

Andai saya bekerja sendiri, akan saya pastikan setiap saat saya akan berada di samping anak-anak bila mereka sakit. Insya allah... Saya mahu jadi ibu terbaik untuk anak-anak... SELAMAT HARI IBU.....

05 May 2010

Semangat Baru.....

Hari ni saya mendapat semangat baru. Kenapa? Sebab semalam semasa berkunjung ke sebuah IT store, saya berjaya mendapatkan cd tutorial lengkap pembelajaran software multimedia yang sedang saya pelajari.

Semoga sesi pembelajaran saya lebih lancar. Target saya, awal bulan depan saya dapat mulakan projek pertama saya. Memang tak sabar rasanya, sebab market survey yang saya buat menunjukkan produk yang sedang saya usahakan masih belum ada di pasaran, dan saya yakin permintaan terhadap produk tersebut amat tinggi.

Saya berharap produk saya nanti menjadi produk pertama di pasaran tempatan. Andai projek pertama ini berjaya, sudah ada senarai projek seterusnya yang saya rancangkan. Dan setiap hari saya tidak lupa untuk memanjatkan doa semoga hasrat murni saya akan tercapai dengan izin dan panduan dariNya.....

04 May 2010

Coretan Dari KL

Saya dan suami sekarang berada di KL kerana suami menghadiri kursus di sini. Manakala saya sekadar menemani di samping ambil peluang rehatkan fikiran daripada rutin pejabat. Bukan juga berehat sepenuhnya, ada juga kerja-kerja pejabat yang 'diusung' bersama.

Petang semalam kami sempat ke Plaza Low Yat. Mulanya suami hanya berhasrat untuk upgrade laptop saya supaya lebih 'berkuasa' untuk perisian multimedia, tapi sudahnya beliau membeli laptop baru untuk saya.

Pesan suami; "usahakan sampai berjaya projek multimedia tu". Terharu rasanya dengan sokongan suami. Laptop baru ni memang lebih baik, dan yang saya paling suka kerana saiznya yang kecil dan ringan, mudah saya bawa ke mana-mana. Dengan adanya laptop baru ni memang banyak membantu kerana lepas ni saya tak lagi 'diganggu' oleh anak-anak yang memang suka menonton cerita kegemaran mereka menggunakan laptop saya. Terima kasih suami tersayang....

02 May 2010

PERMULAAN BULAN MEI 2010

Cepatnya masa berlalu...pejam celik pejam celik dah masuk bulan Mei. Rupanya dah 4 bulan saya kembali ke pangkuan suami dan anak-anak, selepas lebih setahun terpaksa berjauhan. Masih terasa keperitan yang dilalui, setiap 2 minggu berulang alik dengan bas ekpres dari KL ke Terengganu.

Setahun yang penuh dugaan dan mencabar emosi itu menguatkan semangat saya sekarang untuk menjadi seorang WAHM. Realiti yang harus dihadapi apabila bekerja di sektor awam, terpaksa menurut walau di mana diarahkan bertugas. Cukuplah lebih setahun saya 'korbankan' keluarga demi kerjaya, tak sanggup rasanya andai terpaksa melaluinya sekali lagi...